◕‿◕。)Assalamualaikum readers ◕‿◕。..:: Terima kasih sudi singgah ! ::..◕‿◕。What's meant to be will always find a way.◕‿◕。

Tuesday, March 18, 2014

MyCerpen: Salahkah Aku




"Salahkah aku ketika hati ini sukar melupakan apa yang telah mereka lakukan. Tahukah mereka betapa peritnya dibuat sebegitu. Hati ini terlalu terseksa dan menderita. Setiap hari air mata tak jemu-jemu mengalir membasahi pipi. Mutiara jernih ini sudah sebati dalam hidup aku. Aku cuba untuk terus bertahan namun hati ini lebih mengerti apa yang dirasakan. Terlalu sukar rasanya untuk aku hadapi keadaan ini. Terlalu perit. Banyak duri yang harus ku lalui demi menuju ke destinasi ini. Demi keluarga, demi menjaga hati ibu dan ayah, aku kuatkan semangat. Bangkit dari kesedihan untuk meneruskan juga perjalanan ini. Tak mudah untuk aku bangkit. Di bumi yang penuh asing bagiku. Bagaikan seorang musafir yang tercampak jauh di padang pasir. Seluas mata memandang tetapi begitu kosong. Hanya bertemankan pasir dan matahari. Hanya bertemankan pokok-pokok kaktus yang tumbuh subur di bawah teriknya mentari."

Arissa mengeluh sendirian. Segala isi hatinya ketika itu dimuntahkan pada sekeping kertas. Sebak dan sayu hatinya tatkala teringat akan peristiwa itu. Ditinggalkan sahabat yang baru dikenali. Bergerak bersendirian mencari arah yang tidak pasti. Entah di mana silapnya, dia pun tidak mengerti. Kehidupan di bumi asing ini bukanlah semudah yang disangka. Keseorangan ditinggalkan tanpa keluarga yang sentiasa di sisi menemani. Hanya Allah menjadi tempatnya untuk bergantung harap. Hanya Allah menjadi tempatnya untuk meminta kekuatan dan pertolongan. Keperitan yang dirasa kadangkala membuatkan dia menangis tanpa henti. Tikar sejadah menjadi saksi. Al-Quran menjadi penghibur hati. Mendengar dan membaca ayat-ayat cinta dariNya membuatkan hatinya terasa tenang sekali. Zikrullah sentiasa menjadi peneman tidurnya.

"Ya Allah, kuatkan aku mengharungi ujian ini. Arissa, kau kena kuat. Ingat niat kau datang sini sebab apa. Ingat ibu dan ayah Arissa. Jangan disebabkan mereka memperlakukan kau begitu, kau kecewa. Jangan hampakan harapan ibu dan ayah Arissa. Bersusah payah ibu dan ayah datang ke sini hanya untuk melihat kau berjaya. Jangan musnahkan harapan mereka. Kuat Arissa. Kuat! " bisik hatinya sendirian. Itulah yang sering dilakukan tatkala hatinya berasa sedih. Keluarganya menjadi tempat untuk mengadu. Ibu, kak long dan adik sentiasa menjadi tempatnya meluah rasa. Mereka sentiasa memberi dia semangat agar terus tabah di bumi asing ini.




Segala keperitan yang dirasakan membuatkan dia semakin dewasa dalam menilai erti persahabatan yang sebenar. Kita boleh bersahabat dengan semua orang. Boleh saja menganggap mereka sahabat kita. Tapi kita kena ingat. Mereka belum tentu menganggap kita juga adalah sahabat mereka. Kita harus terima kenyataan ini. Walaupun perit. Kehadiran teman-teman baru menjadikan dia kembali ceria. Senyum tawa yang selama ini hilang dari raut wajah kini kembali hadir menyinari hari-harinya. Arissa kembali ceria. Bergurau senda bersama mereka. Dia selesa bersama mereka. Sangat selesa. Teman yang dulu meninggalkannya sudah tidak difikirkan lagi.

Namun kini semuanya kembali berubah. Namun tidak dinafikan juga, masih terselit sikap perikemanusiaan dalam hatinya. Masih terselit simpati buat mereka.

" Ya Allah, salahkah aku jika aku mengungkit kembali kisah lama. Salahkah aku jika aku menolak mereka di atas apa yang telah mereka lakukan. Perit hati ni masih terasa. Sebak dada ni bila memikirkan kenangan itu. Salahkah aku ya Allah.. Walaupun perkara itu telah lama berlalu. Sukar untuk aku melupakan. Hati ini telah memaafkan tapi untuk melupakan tersangatlah sulit buatku.. Kejamkah aku ya Allah.. Tahukah mereka betapa sukarnya aku untuk bangkit dari apa yang mereka lakukan. Tahukah mereka betapa peritnya menelan segala yang dilakukan oleh mereka.. Ya Allah.. Aku hambaMu yang tak pernah lari dari melakukan kesilapan. Tabahkan hati ini ya Allah. Ikhlaskan aku dengan apa yang telah terjadi.. Agar aku lebih tenang menyusuri liku-liku kehidupan yang mendatang.. "

Cerita ini dikongsikan bersama mereka yang agak rapat dengannya. Pesannya kepada Arissa, "Tak apalah Arissa. Biar orang buat kita, jangan kita buat orang.." sambil tersenyum manis. Arissa hanya membalas hambar senyuman itu.

"Ada betulnya jugak apa yang dia katakan. Kata-kata itu cukup sebati dalam hidup aku. Kata-kata insan yang sangat aku sayang.. Dia juga sering menasihati aku suatu ketika dulu.. Andailah dia ada di sisi aku saat ini.. Mahu saja aku luahkan segala yang terbuku di hati. Ya Allah..." keluhnya sendirian..

Arissa sering mengingatkan dirinya. Kadangkala memarahi dirinya sendiri seperti seorang kakak sedang memarahi adiknya. Kelakar tapi inilah realitinya. Surah Al-Baqarah ayat ke 286 dan 216 menjadi motivasi buat dirinya untuk meneruskan perjuangan di bumi asing ini. Janji Allah itu sentiasa disemat dalam kotak hatinya serapi mungkin. Allah tidak akan menguji hambaNya melebihi kemampuan hambaNya itu. Dan boleh jadi kita benci sesuatu hal itu tapi itu adalah yang terbaik buat kita. Boleh jadi juga kita suka akan sesuatu hal itu namun ia bukan yang terbaik buat kita. Allah Maha Mengetahui sedang kita tidak mengetahuinya..

"Aku tahu salah sekiranya aku masih mengenang cerita lama itu. Tapi aku hanya manusia biasa.. Aku juga ada hati dan perasaan. Aku tahu jika disimpan lama perasaan ini lambat laun dikhuatiri akan menjadikan ia sebuah dendam. Nauzubillah minzalik. Moga Allah pelihara hati ini. Moga ujian ini menjadikan aku semakin tabah dan sabar. Moga Allah ikhlaskan hati ini.. Kita hidup bukanlah untuk manusia tapi kita hidup untuk Allah. Untuk mencari redhaNya. Mungkin ini adalah jalan yang Allah bentangkan buat aku agar aku kembali padaNya. Mungkin dengan jalan ini, Allah permudahkan langkahku untuk menggapai redha Illahi.. Wallahu a'lam... Tabahlah wahai hati.."

Sepahit apapun hidup kita ini, jadikanlah apa yang telah berlaku sebagai satu pengajaran. Setiap yang terjadi pasti tersembunyi seribu satu rahsia. Arissa tahu dirinya belum cukup kuat untuk melepaskan segala yang telah terjadi. Namun dia juga tahu, bukan selamanya keperitan itu harus disimpan. Suatu saat, pasti ia akan berlalu pergi juga namun parut yang terukir tidak mudah untuk lupus begitu sahaja.

"Moga Allah kuatkan aku..." pintanya perlahan tapi penuh makna..



( COPYRIGHT@FARRAMIERA )

No comments:

Post a Comment