◕‿◕。)Assalamualaikum readers ◕‿◕。..:: Terima kasih sudi singgah ! ::..◕‿◕。What's meant to be will always find a way.◕‿◕。

Monday, June 23, 2014

Mencari yang SEBENAR


Perjalanan hidup ini harus ku teruskan walau seberat mana dan seperit mana dugaan yang menimpa. Sungguh benar kata seseorang. Mencari yang benar dan sebenar-benarnya itu tersangat payah. Mungkin masa ini belum lagi tiba saatnya untuk aku menjumpai yang sebenarnya itu. Tetaplah tabah wahai hati yang rapuh. Ku tahu kau kuat. Ku tahu kau mampu menempuh apa jua yang datang melanda. La Tahzan.. Innallah ma'ana..




Mengharap pada manusia, sedangkan bayangannya pun hilang dalam kegelapan. Mengharap padaNya, Allah sentiasa mendengar dan ada buat kita. Menangislah sepuasnya andai itu dapat meredakan rasa yang tersimpan di hati. Di sebalik tangisan itu, telah Allah sediakan sesuatu yang indah. Di sebalik linangan air mata itu, telah Allah janjikan sebuah kebahagiaan.. 

Tenanglah wahai hati. Teruskan juga perjalanan ni. Masih ada hati yang perlu dijaga. Jangan mudah kecewa dan mengalah. Walaupun kau nampak keseorangan tapi sebenarnya you're not alone. Allah sentiasa ada dengan kau. Jalan ini pasti akan Allah mudahkan selagi kau masih teguh berpaut padaNya setiap saat dan ketika. 

Sahabat sejati sukar untuk dicari umpama mutiara di tengah lautan. Andai Allah telah pertemukan kau dengan dirinya, hargailah dia sebaiknya. Jangan biarkan dia pergi begitu sahaja...

Sunday, June 15, 2014

MyCerpen: Seindah Impian PART 4 (AKHIR)

SEINDAH IMPIAN: PART 4 (AKHIR)




3 tahun telah berlalu. Alhamdulillah Sofea Humairah telah berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi MARA. 3 tahun berada di UiTM banyak mengajarnya erti kedewasaan. Minggu depan merupakan hari Istiadat Konvokesyen. Alhamdulillah setelah menamatkan pengajian, Humairah telah diterima bekerja di salah sebuah bank swasta. Alhamdulillah Allah mudahkan perjalanannya.

“Mak, Abah ... Malam ni Adik nak bawak mak dengan abah pergi shopping tau! Alhamdulillah adik dah dapat gaji tadi mak. Gaji bulan ni ada lebih sikit mak. Bolehlah kita pergi makan sekali. Ajak abang Long dengan Kak Ngah sekali. Kak Aisyah tak balikkan?“ petah Mairah menyusun kata.

“Minggu depankan adik ada konvokesyen, baju dah ada nak? Adik kata nak bermalam di hotel. Macam mana pulak tu?“ soal mak kerisauan.

“Alhamdulillah semuanya dah settle mak. Mak jangan risaulah. Nanti hari Rabu petang kita geraklah. Kita tidur sana. Malam tu boleh jalan-jalan. Khamis pagi majlisnya mak. Adik dah tempah 3 bilik. Selesa sikit. Adik nak semua ikut. Adik dah cakap dengan Abang Long, Kak Ngah dan Kak Aisyah. InsyaAllah diaorang jadi pergi.  Soal transport tu mak tak usahlah risau. Adik dah uruskan semuanya. Kita naik van nanti. Macam dulu. Masa mula-mula mak dengan abah semua hantar adik kat sana.“ balas Mairah lagi. Abahnya lebih gemar memasang telinga menjadi pendengar.

“Kami ni tak susahkan adik ke? Macam-macam dah adik buat.“ perlahan suara Mak Ija mengeluarkan kata.

“Ya Allah, kenapa mak cakap macam tu. Adik tak rasa terbeban pun mak. Adik rasa seronok sangat. Kalau tak kerana mak dengan abah dan adik-beradik yang lain, adik takkan berjaya sampai sini. Keluarga adik adalah semangat adik untuk mencapai kejayaan. Mak janganlah fikir macam tu. Adik sayang keluarga ni mak. Adik sayang sangat. Selagi ada rezeki yang Allah beri pada adik, selagi itulah adik akan terus gunakan rezeki ini untuk bantu semua ahli keluarga adik. Dalam duit gaji yang adik dapat ni pun mak, ada hak-hak orang lain...” lembut sahaja Adik berbicara. Sayu mendengar apa yang diperkatakan oleh anaknya itu.

“Abah bangga dengan adik. Walaupun adik mendapat pendidikan yang tinggi, adik tetap ingat asal usul adik. Adik tetap adik yang dulu. Ingat pesan abah ni adik, kita kalau senang macam mana pun , jangan pernah kita merendah-rendahkan orang lain. Rezeki ni Allah punya. Segala nikmat yang kita ada milik Allah. Bila-bila masa je Allah boleh ambil balik. Barang ni semua pinjaman je dik. Pastikan kita pulangkan apa yang dipinjamkan dalam keadaan yang baik nak. “ abah pula membuka bicara. Nasihatnya begitu mendalam namun berguna untuk masa depan.

Hari yang dinanti telah tiba. Perasaan teruja, gembira, berdebar semuanya bermain-main di hatinya. Tak tahu bagaimana hendak digambarkan perasaanya ketika itu. Allah Maha Mengetahui. Pagi itu, Sofea Humairah mengenakan sepasang baju kurung berona biru dihiasi sulaman putih lengkap bertudung biru putih. Kulit wajahnya yang cerah di solekkan dengan solekan yang ringkas cukup menyerlahkan kecantikkannya. Humairah tampak begitu anggun dan cantik.

Memandangkan mereka telah sepakat untuk memilih warna biru sebagai warna tema jadi pada pagi itu , mereka kelihatan sedondon macam kumpulan boria pun ada jugak. Mak Ija dan Pak Azman dijemput masuk ke Dewan Agong Tuanku Canselor, manakala ahli keluarga lain hanya akan hadir setelah majlis selesai. Menurut Humairah, majlis itu akan mengambil masa yang lama. Jadi lebih baik yang lain rehat dulu di hotel. Sebelum majlis tamat, Humairah akan menelefon mereka. Lagipun jarak perjalanan dari hotel tempat mereke menginap tidaklah begitu jauh dengan UiTM. Hanya 3 kilometer sahaja.


Suasana di dalam dewan sangat meriah. Pelbagai ragam dan gelagat dapat diperhatikan. Masing-masing teruja untuk naik ke atas pentas. Kesemuanya lengkap memakai jubah konvokesyen. Tiba giliran Sofea Humairah, gambarnya terpampang di skrin besar. Alhamdulillah walaupun tidak berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana Muda kelas pertama, Humairah berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana Muda kelas kedua tertinggi. Humairah berangan-angan untuk menyambung ke peringkat yang lebih tinggi di oversea. Mudah-mudahan Allah permudahkan.

Tatkala nama Sofea Humairah disebut, Mak Ija dan Pak Azman tidak dapat menahan sebak melihat anaknya kini berada di atas pentas yang penuh bersejarah itu. Sofea Humairah telah mengukir sejarah terindah dalam diari keluarga mereka. Mereka bersyukur dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah. Walaupun mereka dari keluarga yang susah, anak-anaknya tidak pernah merungut apatah berasa malu. Malahan mereka dikurniakan anak yang sangat memahami situasi mereka. Biarlah di mata manusia, mereka hanyalah keluarga yang miskin kerana yang harus mereka risaukan adalah jika mereka miskin di mata Allah.

“Ya Allah, sungguh indah rencanaMu buat keluargaku... Alhamdulillah...“ bisik Pak Azman di hati kecilnya. Tatkala itu mutiara jernih mengalir perlahan di pipi. 



***...TAMAT...***


(COPYRIGHT@FARRAMIERA)


p/s: Seperti yang sedia maklum dalam entry sebelum ini. Cerpen ini sepatutnya Fara hantar untuk sertai pertandingan bertemakan Destini Anak Bangsa UiTM Di Hatiku. Tapi tak jadi sebab dah terlebih words. Jadi keseluruhan cerita ini memang berkisarkan tentang UiTM.




Thursday, June 12, 2014

MyCerpen: Seindah Impian (PART 3)

SEINDAH IMPIAN: BAHAGIAN 2


Universiti Teknologi MARA. Siapa yang tidak tahu. Sebut sahaja UiTM pasti semua orang kenal. Bagi pelajar baru, biasalah . Takkan terlepas dari Minggu orientasi. Di UiTM, minggu orientasi di kenali dengan nama minggu MDS iaitu Minggu Destini Siswa. Masa minggu ni, pelajar-pelajar baru pasti akan stress dengan keadaan sekeliling walaupun tak dinafikan ramai kawan baru yang kita dapat.

Senior-senior telah dilatih untuk menjadi seorang yang tegas. Semuanya harus pantas dan mengikut masa. Setiap malam Humairah akan menangis. Rindukan rumah. Rindunya mak dan abah. Tapi Alhamdulillah, berkat kesabaran, minggu MDS berjaya dilaluinya.

“Macam mana ni? Mairah rasa kita dah salah jalan ni. Sekarang dah pukul lapan. Setengah jam lagi ada kelas.“ Humairah mula panik. Gara-gara tersalah perhentian, mereka telah tersesat. Yang kelakarnya mereka tersesat di dalam UiTM itu sendiri. Patutlah orang kata UiTM ni besar.

“Kita pun rasa dah salah ni. Patutnya berhenti kat tempat tadi tu. “ balas Nadirah pula.

“Kita jalan jelah. Nanti jumpalah kot.“ Amira pula membuka mulut. Sikapnya yang kurang prihatin kadangkala menguji kesabaran rakan-rakannya yang lain.

“Ya Allah... Permudahkanlah jalan kami ya Allah..” bisik hati kecil Humairah.

Dalam kerisauannya, Humairah mengambil jalan mudah. Sesiapa sahaja yang lalu di hadapan mereka, dia akan bertanya. Alhamdulillah pertolongan Allah itu sentiasa tepat pada masanya. Allah telah membuka jalan buatnya.

“Mujurlah seorang akak senior itu sudi memberikan pertolongan. Ramah pulak tu. Tak macam akak-akak senior sebelum ni. Macam nak tak nak je tolong! Huh! “ rungut hati kecilnya. Namun cepat-cepat dia beristighfar.

“Ya Allah.. Mairah... tak baik bersangka buruk. Husnuzon Mairah. Ya Allah, ampunkanlah aku... “ bisik hati kecilnya lagi.

Suasana dalam bilik kuliah cukup untuk membuatkan rakan-rakannya melelapkan mata. Sejuk. Apatah lagi keadaan kerusi yang empuk. Pakej yang lengkap untuk melenakan mata. Namun itu bukanlah tujuan utamanya untuk ke kelas. Tujuannya adalah untuk menuntut ilmu.

“Jangan pernah lupa niat kamu datang situ Mairah... “ hati kecilnya mula berkata-kata cuba mengingatkan.

Sofea Humairah binti Azman. Nama yang cukup indah dan cantik. Sesuai dengan orangnya. Budi bahasanya, tingkah laku dan tutur bicara cukup terjaga. Sifatnya yang mudah didekati membuatkan dia senang bergaul dengan semua orang. Humairah lebih senang jika dia dipanggil dengan nama Mairah berbanding Sofea. Entahlah. Rasa kelakar pula bila ada yang memanggilnya Sofea.

Law Student

3 bulan telah berlalu. Hari ni Humairah dan rakan-rakan kelasnya yang lain akan menghadapi Test 2 sebelum menghadapi final exam. Seminggu sebelum test berlangsung , pensyarah telah pun memberi klu tentang soalan-soalan yang akan ditanya. Jadi mudahlah kerjanya. Mengulangkaji soalan-soalan yang pernah dibuat semasa berada di dalam kelas. Mungkin untuk soalan fakta agak susah sedikitlah jika hendak dibandingkan dengan soalan yang berbentuk cases. Tapi dah nama pun undang-undangkan, semuanya adalah fakta. Masing-masing sibuk dengan dunia mereka. Menghafal , mengingat dan memahami sehabis boleh tajuk yang dibaca tidak terkecuali juga dengan Sofea Humairah. Persediaan Humairah untuk menghadapi test 2 tidaklah begitu hebat. Dia cuba apa yang termampu. Apabila pensyarah tiba sahaja, masing-masing mula panik. Baik yang dah habis study dan yang belum. Pelbagai persoalan bermain di minda.

 "Awak rasa soalan apa yang keluar? Kalau bab ni saya tak bacalah.." bisik rakannya. Jelas terpancar kerisauan yang bertandang dalam diri rakannya itu. Seperti biasa , Humairah cuba mengawal perasaannya sebelum menenangkan rakannya itu .

"Jangan risaulah awak. InsyaAllah semuanya ok. Lagi pun soalan tu kita boleh pilihkan. Kalau awak rasa tak boleh nak jawab soalan tu , pilihlah yang lain." balas Humairah sambil mengukir senyuman.

Peperiksaan dimulakan apabila semua telah mendapat kertas soalan. Memandangkan ini bukanlah official exam, pelajar dibenarkan untuk tidak menjarakkan meja masing-masing. Suasana sepi mula mengisi segenap ruang class. Masing-masing tekun menjawab soalan yang diberikan. Pelbagai jawapan bermain di minda,menunggu masa untuk dimuntahkan semuanya. Humairah yang pada mulanya nampak tekun menjawab peperiksaan kini mula gelisah tatkala melihat soalan yang seterusnya.

Memandangkan soalan itu berkaitan dengan soalan case yang pernah diberikan oleh pensyarah pada minggu lepas, sedikit sebanyak jawapannya masih berada di kotak fikiran. Namun sayangnya Humairah hanya dapat mengingati case yang boleh di aplikasikan dengan soalan tersebut. Maksud akta yang berkaitan dengan case itu sudah pergi jauh dari kotak fikirannya. Tapi itu bukan penghalang untuk Humairah tidak menjawab soalan tersebut. Selagi terdaya , dia cuba menjawab dan mengingati apa jua jawapan-jawapan yang berkaitan. Sampai satu saat di mana Humairah sudah ketandusan idea, dia mula menoleh ke kiri dan kanan melihat rakan-rakannya yang masih tekun menjawab.

Ketika Humairah sedang menoleh ke kanan, tiba-tiba matanya tertumpu ke arah rakan sekelasnya yang sedang khusyuk menulis jawapan.

Sedang leka memerhatikan gelagat rakannya itu tiba-tiba matanya beralih pula ke arah fail lut sinar yang berada bersebelahan dengan rakannya. Humairah terkedu. "Ya Allah" Perasaan marah, kecewa, terkilan mula menyelubungi hatinya namun ditenangkan hati itu dengan mengingati Allah...

Selesai sahaja menjawab soalan-soalan yang diberikan , Humairah melangkah keluar dengan perasaan yang sukar ditafsirkan. Marah, kecewa, terkilan semuanya bermain-main di hatinya. Marah dengan sikap rakan-rakannya itu, terkilan dan kecewa dengan apa yang mereka lakukan.

“Ya Allah, adilkah apa yang mereka lakukan ini. Adilkah mereka dengan rakan-rakan mereka yang lain. Jujurkah mereka dengan rakan-rakan mereka dan juga pensyarah . Bukankah apa yang mereka lakukan itu satu penipuan. Bukan sahaja penipuan terhadap diri sendiri tapi juga kepada rakan-rakan dan juga pensyarah. Dan bagaimana pula dengan keputusan yang mereka akan perolehi. “ hatinya meluahkan namun hanya dia yang mendengar.

Teringat kata-kata pensyarah yang sering terngiang-ngiang di fikiran tatkala hati ingin menipu dalam peperiksaan. Lebih kurang begini katanya, "Jika kita meniru dalam peperiksaan dan hasil daripada tindakan kita itu membuatkan keputusan kita lebih baik daripada mereka yang selayaknya dan sekaligus menutup jalan orang yang selayaknya itu , adakah wujud keberkatan pada kejayaan kita tu. Dan sekiranya kita mendapat kerja yang baik di atas kejayaan yang kita peroleh itu hasil daripada tindakan kita itu, berkat ke gaji yang kita dapat ? Dan kemudian gaji itu kita gunakan untuk keluarga "  

“Ya Allah, berikanlah hambaMu ini kesabaran dalam menghadapi dugaan. Sesungguhnya Kau Maha Mengetahui..” pintanya di dalam hati.

Sebagai seorang mahasiswa, pelbagai dugaan dan cabaran yang harus ditempuh. Assignment, kuiz dan tutorial. Banyak kerja perlu diselesaikan. Perjalanan di UiTM tak semudah yang disangka. Walaupun UiTM hanya terbuka kepada bumiputera namun dalam setiap sesi pembelajaran, bahasa Inggeris adalah bahasa yang pertama digunakan. Mula-mulanya Humairah rasa agak terganggu memandangkan dirinya yang tidak begitu fasih berbahasa Inggeris. Dia mengerti dan faham apa yang disampaikan oleh pensyarahnya tapi apabila sampai kepada percakapan, Humairah kelu seribu bahasa.

Setiap hari Humairah pasti akan menelefon mak dan abah. Walau sesibuk mana pun dia, dia pasti akan mencari masa buat mak dan abahnya. Sekiranya tidak ada aral melintang, Humairah akan pulang ke Melaka 2 minggu sekali. Tapi sekiranya dia sibuk, dia akan mencari masa untuk pulang. Selalunya Humairah akan pulang ke Melaka sebulan sekali. Walaupun rindu di hati membuak-buak, Humairah harus tahan perasaan itu demi kejayaannya di masa mendatang.

Kehidupan di UiTM banyak mengajar Humairah erti berdikari. Semuanya harus dilakukan sendiri. Bukan seperti di sekolah. Hampir ke semua yang dilakukan, ada rakan yang menemani. Susah untuk mencari rakan yang sanggup bersama ketika susah dan senang. Humairah lebih selesa bergerak sendiri. Mungkin pengalaman mendewasakan dia. Manusia itu rambutnya sahaja sama hitam tapi hatinya lain-lain. Cukuplah dengan apa yang terjadi. Tapi dia bersyukur. Macam apa yang mak dan abah selalu pesan. Allah jadikan ujian itu pasti ada hikmahnya. Kini, Sofea Humairah lebih tenang untuk berhadapan dengan gelagat rakan-rakannya. 2 tahun telah berlalu. Semuanya dilalui dengan hati yang tabah. Alhamdulillah , kini Humairah telah berada di tahun akhir pengajiannya.

“Mairah, awak rasa kenapa UiTM ni tak ada bangsa lain? Kenapa mesti semuanya nak Melayu dan bumiputera? “ soal rakan kelasnya suatu masa dulu.

“Aina, UiTM merupakan satu-satunya Universiti yang masih membela nasib anak Melayu. Bukan maksud saya Universiti lain tak membela nasib anak Melayu. Maksud saya, sekiranya UiTM tidak ditubuhkan, ke mana bangsa Melayu ni nak pergi? Maaf. Saya bukan bermaksud nak mengagung-agungkan bangsa Melayu tapi ini bangsa saya Aina. Kalau UiTM dibuka kepada bangsa lain, adakah anak-anak Melayu akan dapat peluang yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran di sini? Saya rasa itu sesuatu yang mustahil Aina.” Balas Humairah penuh berhati-hati.

“Universiti lain boleh je Mairah? Kenapa UiTM tak boleh? “ sambung Aina lagi. Begitu banyak persoalan yang bermain di mindanya.

“Aina, saya cakap macam ni sebab saya bukan dari keluarga yang senang Aina. Keluarga saya susah. Kami pernah kehujanan sebab atap rumah kami bocor. Pergi sekolah pun kami hanya berbekalkan air kosong sahaja Aina untuk mengalas perut. Tengok kawan-kawan gembira dapat beli apa sahaja yang mereka mahukan. Tapi saya dan adik-beradik saya? Kami orang susah Aina. Abang Long dan Kak Ngah saya terpaksa berhenti sekolah sebab nak bagi peluang kat adik-adik mereka belajar. Mereka tak merasa nak belajar macam kita ni. Bila saya dapat tawaran belajar di sini, merekalah orang yang paling bahagia sekali Aina. Sebab saya berjaya lanjutkan pelajaran sampai ke peringkat Universiti. Lebih-lebih saya berjaya mendapatkan tawaran di UiTM. Aina tahukan yuran di sini murah? Paling murah di dunia Aina. Saya tak mampu nak belajar tempat yang mahal-mahal. Dapat masuk UiTM ni pun dah syukur dah Aina. Kalau UiTM ni dibuka kepada bangsa lain, Aina rasa orang macam saya ni layak ke nak masuk UiTM?“ sambung Humairah rancak memulakan bicara.

“Maaflah Humairah. Saya tak bermaksud apa-apa pun. Cuma saya rasa macam tak ada persaingan dalam UiTM ni. Semuanya bangsa kita sendiri. Bosanlah! “ protes Aina lagi

“Aina, siapa kata dalam UiTM ni tak ada saingan. Disebabkan kita sesama bangsa, kita rasa macam tak ada saingan. Macam tu? Salah tu Aina. Mairah dapat rasakan yang Mairah sedang bersaing dengan rakan-rakan yang lain untuk menjadi yang lebih baik dalam kalangan yang terbaik. Cuba kita buka mata hati kita. Kita pasti nampak di mana saingannya.” tutur Humairah lembut menyambung bicara.

“Petah sungguh awak berbicara Mairah. Nampak seperti awak betul-betul sayangkan UiTM ni. UiTM dihatiku ye Mairah? “ balas Aina sambil mengusik Mairah

“UiTM memang sentiasa dihatiku Aina. Kat sinilah saya belajar erti kehidupan yang sebenarnya. Kat sinilah tempat untuk saya capai cita-cita saya demi kebahagiaan keluarga saya. Di sinilah tempat yang akan membawa saya ke menuju kejayaan, insyaAllah... Dengan izin dan pertolongan Allah. “ sambil tersenyum memandang Aina.

“InsyaAllah Mairah. Kita sama-sama berdoa dan berusaha ye. Terima kasih. Saya bangga dengan jawapan yang awak berikan. Awak betul-betul sayangkan UiTM ni. Saya bangga dengan semangat awak Mairah.. “ ucap Aina lantas memeluk sahabatnya itu.




***BERSAMBUNG...***


(COPYRIGHT@FARRAMIERA)


p/s: Seperti yang sedia maklum dalam entry sebelum ini. Cerpen ini sepatutnya Fara hantar untuk sertai pertandingan bertemakan Destini Anak Bangsa UiTM Di Hatiku. Tapi tak jadi sebab dah terlebih words. Jadi keseluruhan cerita ini memang berkisarkan tentang UiTM.



Sunday, June 08, 2014

MyCerpen: Seindah Impian (PART 2)

SEINDAH IMPIAN: BAHAGIAN 2



“Besarnya Universiti ni dik. Suka mak tengok.“ mak mula bersuara setelah van yang dipandu oleh abang Long mula memasuki pintu pagar kedua UiTM. Pintu pagar kedua itu terletak di Seksyen 7 berhampiran dengan Jakel. Suasana dalam van itu mula riuh seolah-seolah mereka sedang melihat Shah Rukh Khan di depan mata. Masing-masing mula berbicara sendirian. Terpancar keterujaan dan kegembiraan di raut wajah mereka.

“Ha’ah lah dik. Besarnya Universiti ni. Adik nanti mesti seronok punya duduk kat sini. Jangan lupa kat kitaorang semua sudahlah.“ Kak Ngah pula bersuara. Mula menyakat adiknya itu.

“Kak Ngah ni! Memanglah seronok tapi suasana kat sini takkan sama dengan kat kampung tu. Pening adik tengok bangunan tinggi-tinggi ni. Kereta banyak. Bunyi hon sana sini. Rimas! Lagipun, takkanlah Adik nak lupa darah daging adik sendiri. Adik sentiasa ingat tau. Adik bukan kacang lupakan kulit.“ rungut Adik tatkala mendengar percakapan akaknya itu. Kurang senang dengan apa yang diperkatakan.

“Akak gurau je dik. Janganlah marah-marah. Nanti cepat tua, tak ada siapa nak. Terpaksalah akak cari Pak Amin kat kampung tu nanti suruh kahwin dengan adik. Tapi adik nak ke kahwin dengan dia. Dia dah macam moyang kita dah dik. Jalan pun sekarang dah pakai tongkat.“ semakin galak kak Ngah mengusik. Sebenarnya kak Ngah ingin memujuk tapi sengaja dipujuk dengan cara begitu agar adik kesayangannya itu kembali ceria. Selalunya adik yang akan memujuknya. Kali ni giliran dia pulak yang memujuk adik.

“Kak Ngah!“ adik terjerit kecil namun turut tertawa bersama.

“Ya Allah , betapa besarnya amanah dan tanggungjawab yang harus hambaMu ini pikul. Ku mohon kekuatan dariMu ya Allah agar dipermudahkan jalanku dalam menuntut ilmu. Niat aku ke sini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menuntut ilmu demi mencari keredhaanMu di samping membahagiakan kedua ibu bapaku dan keluarga. Harapan mereka sangat besar untuk melihat aku berjaya. Aku ingin membalas jasa mereka ya Allah. Aku ingin melihat mereka menyarung jubah konvokesyen itu nanti walaupun mereka tidak dapat berada di pentas graduasi. Aku ingin mereka merasakan kegembiraan yang aku rasakan. Permudahkanlah jalanku ya Allah. Berikan aku semangat. Aku harus jadikan amanah dan tanggungjawab ini berjalan dengan sempurna. Aamiin ya Rabb...” bisik adik sendirian. Air mata mula bergenang. Tunggu masa untuk jatuh namun dikuatkan semangat. Sedaya upaya cuba ditahan.

“Adik dah daftar semua? Barang-barang tu semua cukup tak? Ada apa-apa lagi yang kurang? “ Pak Azman mula bertanya ketika mereka sedang sibuk membantu adik menyusun barang-barangnya di dalam bilik.

“Alhamdulillah, semua dah settle bah..“ jawab adik perlahan. Walaupun adik teruja untuk melanjutkan pelajaran di situ namun jauh di sudut hati, hati berasa sangat sedih. Sedih sebab akan meninggalkan keluarganya dan memulakan kehidupan sebagai seorang mahasiswa di Universiti itu. Maklumlah, sejak dari kecil lagi adik tidak pernah berenggang dengan keluarga. Ke mana sahaja pergi pasti mak dan abah ada bersama. Membayangkan keadaan di sini, hidup di bumi orang, tidak ada saudara-mara terdekat, semuanya harus diuruskan sendiri, hati adik menjadi sebak.

Check betul-betul nak. Kalau ada yang kurang, boleh kita keluar sekejab pergi beli. Ni lepas mak balik nanti susah pulak adik nak cari barang.“ sambung Mak Ija pula penuh perhatian.

“Betul mak. Alhamdulillah semua dah cukup. Kalau ada yang kurang, adik beli je kat bawah tu. Kan ada kedai “ balas Adik cuba menyakinkan.

“Mak dengan abah jangan risau ok. InsyaAllah Allah ada. Allah pasti akan tolong adik... Mak dengan abah sentiasalah doakan adik..” balasnya lagi sambil mengukir senyuman. Kali ini suaranya kedengaran sayu.

“Semua dah siapkan? Tu dari tadi abang Long dok dengar diaorang buat pengumuman kat bawah tu suruh berkumpul. Bolehlah kita berangkat sekarang ye.“ Abang Long memberikan cadangan.

“Betul tu. Sesi penyerahan borangkan dik? Mak dengan abah balik dululah dik. Tak tahulah bila nak sampai sini lagi. Ada umur, sampailah lagi mak kat sini."

“Hmm.. Jomlah. Turun sama-sama..“ balas adik perlahan. Hatinya semakin sebak. Saatnya telah tiba. Dia harus berjauhan dengan keluarganya buat sementara waktu demi mencapai segunung impian dan harapan di sini.





Sampai sahaja di parkir kereta, Abang Long mula memanaskan enjin van. Masing-masing mula bersalaman. Hati semakin sebak. 

“Ya Allah ! Kuatkan semangat aku! “ doa adik berulangkali dalam hatinya.

“Adik kat sini jaga diri baik-baik. Mak dengan abah jauh. Kalau demam, jangan lupa makan ubat. Pergi klinik. Ajak kawan teman, jangan pergi sorang-sorang aje. Apa-apa jadi nanti susah. Duit tu jaga elok-elok. Dok sini solat jangan lupa. Jaga tingkah laku. Ingat tujuan datang sini untuk apa. Mak dengan abah sentiasa doakan adik. Jangan lupa telefon mak dengan abah. Belajar betul-betul dik. Inilah masanya adik nak balas jasa semua orang. Kita ni bukan orang senang dik. Adik belajar betul-betul. Jadi anak yang solehah. Jadi hamba Allah yang bukan sahaja berbakti kepada kedua ibu bapa dan keluarga malah berbakti kepada agama,bangsa dan negara.“ panjang lebar Mak Ija menyusun kata menasihati puteri bongsunya itu. Yang lain hanya menjadi pemerhati dan memasang telinga sahaja. Faham benar hati mak mereka itu. Naluri keibuan yang begitu mendalam memang tidak dapat disangkal lagi.

“InsyaAllah mak... Doakan adik... " air mata yang sedari tadi hanya bergenang di kelopak mata kini mula berguguran. Mak Ija, Kak Ngah dan Kak Aisyah turut sedih apabila melihat adik yang mula teresak-esak menangis.

“Dah dah. Jangan nangis nak. Datang sini nak belajar. Bukannya mak dengan abah hantar adik masuk penjara. Tak payah nangis-nangis. Mak dengan abah hidup lagi ni. Nak nangis buat apa.“ sempat lagi Mak Ija melawak. Masing-masing mula tertawa. Tangisan dalam senyuman. Itulah keadaannya.





***BERSAMBUNG...***


(COPYRIGHT@FARRAMIERA)


p/s: Seperti yang sedia maklum dalam entry sebelum ini. Cerpen ini sepatutnya Fara hantar untuk sertai pertandingan bertemakan Destini Anak Bangsa UiTM Di Hatiku. Tapi tak jadi sebab dah terlebih words. Jadi keseluruhan cerita ini memang berkisarkan tentang UiTM.



MyCerpen: Seindah Impian (PART 1)

SEINDAH IMPIAN: BAHAGIAN 1



“Mak!!! Abah!!!“ sayup-sayup kedengaran suara adik memanggil kedua ibu bapanya itu lantas mengejutkan mereka. Abah yang sedang khusyuk membaca surat khabar mula berdiri sambil memandang isterinya yang sedang sibuk menjahit baju kurung. Surat khabar yang dipegang oleh Pak Azman telah lama terlepas tatkala mendengar suara anak bongsunya itu. Mak Ija pun turut sama terkejut  mendengar suara anaknya itu.

“Kenapa dengan adik tu maknya?“ soal abah kehairanan. Jelas terpancar raut wajah kerisauan yang mula menghiasi setiap inci raut tuanya.

“Entahlah bang.. Cuba abang tengok kat luar tu. Kot ada dia kat depan tu. Suara dia kan dari luar tu bang..“ jawab Mak Ija cuba menenangkan keadaan. Pak Azman mula mengatur langkah menuju ke pintu rumahnya mencari-cari kelibat puteri bongsunya itu.

“Apa lagilah Adik ni. Suka buat orang risau tau! “ rungut Mak Ija perlahan.

Faham sangat dengan perangai anak bongsunya itu. Sejak kakaknya Aisyah yang merangkap sahabat baiknya meninggalkan kampung untuk ke kota mencari kerja, adik lebih suka mengadu dan berkongsi cerita dengan Pak Azman dan Mak Ija. Bagi adik, mereka lebih memahami perasaan adik. Tapi itu tak bermakna adik mengabaikan rakan-rakan sekolahnya. Ada masanya adik akan meminta nasihat rakan-rakan juga.

“Mak!  Abah!“ suara Adik tercungap-cungap seperti orang yang baru menamatkan larian 100 meter.  Ketika itu Pak Azman telah pun berada di depan pintu rumahnya. Begitu juga dengan Mak Ija.

“Ya Allah, kenapa ni nak. Cuba cerita kat mak dengan abah. Ni dah macam orang kena kejar hantu je mak tengok.“ Mak Ija mula menutur bicara sambil menghusap kepala anaknya.

“Iyalah kamu ni. Cuba bawa bertenang. Tarik nafas dulu kemudian cerita kat mak dengan abah. Risau kami dibuatnya. Kamu ni adik... “ Abah yang mulanya diam dan hanya menjadi pemerhati mula menyampuk.

“Mak, Abah tengok ni!“ Adik tergelak kecil sambil menghulur sekeping kertas A4 kepada mak dan abahnya. Kertas itu sebenarnya adalah surat tawaran ke IPTA yang baru sahaja di print oleh adik sejurus selepas dia membuat semakan keputusan ke IPTA. Adik telah berjaya diterima masuk ke salah sebuah IPTA yang dikagumi ramai. Salah sebuah IPTA terbesar di Asia. Ramai pelajar lepasan STPM yang membuat permohonan namun tak semua yang bernasib baik. Adik salah seorang yang terpilih.

“Kertas apa kamu bagi mak ni dik. Mak manalah pandai nak baca. Kalau tulisan Jawi tu tahulah mak nak membacanya. Zaman mak dulu semuanya tulisan Jawi nak. Cuba kamu baca, mak nak dengar.“ panjang lebar Mak Ija menyambung bicara. Abah hanya melihat gelagat dua orang puteri kesayangannya itu.

“Mak dengar tau adik nak baca ni...” sambung Adik lantas memulakan bacaan. “ Sukacita dimaklumkan bahawa anda ditawarkan tempat untuk mengikuti program di UiTM. Program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Kepujian Perbankan Islam. “ jelas kedengaran nada suara adik yang tampak ceria dan teruja.

“Adik dapat sambung belajar mak,abah. Adik dapat masuk Universiti. “ sambung adik lagi. Suara adik kedengaran sebak.

“Ya Allah, syukur Alhamdulillah nak. Syukur, Alhamdulillah...“ serentak mak dan abah mengucapkan syukur ke hadrat Illahi. Air mata kegembiraan menitis laju. Adik juga turut mengalirkan air mata. Buat seketika, adik hanyut dalam dakapan ayahanda dan bonda.


***


Seusai menunaikan solat Zohor, Mak Ija telah mula sibuk di dapur menyediakan minum petang. Selepas mak dan abah mendapat khabar gembira pada pagi itu, mereka terus menelefon anak-anak yang lain. Kebahagiaan dan kegembiraan menghiasi raut wajah kedua ibu bapanya. Sukar untuk digambarkan betapa bahagianya melihat wajah ayahanda dan bonda.

Kak Ngah selepas Zohor tadi dah tiba. Kak Ngah bekerja sebagai tukang jahit di sebuah kedai kecil di hujung kampung. Walaupun tak diminta tapi Kak Ngah tetap membawa sedikit buah tangan. Kak Aisyah pula petang nanti baru sampai katanya. Maklumlah, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka mengambil masa dua jam. Kak Aisyah harus meminta kebenaran daripada bos tempat dia bekerja dahulu sebelum pulang. Abang Long pula selepas waktu kerja baru akan datang.

Petang itu Mak Ija telah siap menyediakan mee goreng, pisang goreng, kuih seri muka dan tak lupa juga ubi kayu rebus kesukaan anak-anaknya. Petang-petang macam ni memang sedap kalau makan ubi kayu rebus dengan sambal belacan bersama ikan kering. Sambal tumis juga Mak Ija sediakan. Mak Ija tahu anak-anaknya ni seleranya lain-lain. Abang Long suka makan dengan sambal belacan dan ikan kering. Abah pula tak kisah. Asalkan ada ubi rebus. Kak Ngah berlainan pula, dia lebih gemar makan ubi rebus bersama dengan sambal tumis.

Adik yang sedari tadi sibuk membantu mak Ija juga turut membantu menyediakan air. Kebiasaannya, kalau bab-bab air ni, adiklah yang akan uruskan. Kata keluarganya, adik pandai buat air. Sedap. Petang itu adik menyediakan dua jug air. Satu air panas dan satu air sejuk. Seperti biasalah, kopi dan teh’o ais limau menjadi pilihan. Ketika sedang membancuh air, adik teringat peristiwa tadi bersama Kak Ngahnya membuatkan dia terus tergelak kecil.


***


“Assalamualaikum...“ kedengaran suara Kak Ngah yang begitu lembut memberi salam.

“Waalaikumsalam. Kak Ngah!“ Adik terus mendapatkan Kak Ngahnya itu.

“Tahniah dik! Kak Ngah bangga sangat bila mak beritahu Kak Ngah adik dapat sambung belajar. Kat UiTM pulak tu. Mak dengan abah mana dik?“ Kak Ngah memulakan bicara sambil menghulurkan sedikit buah tangan buat adik kesayangannya itu.

“Alhamdulillah kak. Syukurlah. Adik gembira sangat bila dapat tahu UiTM terima adik. Eh apa ni kak... Hmm, akak ni buat susah-susah je. Tak payahlah bawa semua ni. Akak simpan je duit akak tu kak. Akak lagi perlukannya. Mak dengan abah ada tu dalam bilik. Baru habis solat agaknya tu.. “ jawab adik sambil mengambil buah tangan dari kak ngah itu.

“Ambil jelah dik. Akak ni nak belikan adik barang yang mahal-mahal tak mampu. Ini jelah yang akak dapat bagi kat adik.“ kedengaran sayu suara Kak Ngahnya itu.

“Laaahhh akak ni.. Nak touching pulak. Adik sukalah akak bagi ni. Adik cuma tak nak susahkan akak je. Akak! Tengok ni! Wah!!! Ada buah tembikai susulah! Ni yang nak cium akak ni.“ jawab adik sambil berlari-lari anak ke arah akaknya. Kak Ngah tu sensitif orangnya. Walaupun adik tak bermaksud apa-apa namun dia kenal benar hati Kak Ngahnya itu.

“Ishh.. Adik, tak naklah!“ Kak Ngah mula melarikan diri. Kak Ngah di sebelah kanan meja manakala adik di sebelah kiri meja. Adik masih mengusik-usik Kak Ngah itu. Terasa seperti mereka berada di zaman 10 tahun dahulu. Begitulah gelagat mereka semasa kecil. Kalau Kak Aisyah dan Abang Long ada lagilah meriah.

“Ya Allah... Ni kenapa ni Kak Ngah, adik? Runtuh rumah mak ni nanti. Kak Ngah ni bilanya sampai ?“ soal mak kebingungan melihat gelagat anak-anaknya itu.

“Ha’ah kamu berdua ni. Kenapa ni? Dah macam budak-budak dah abah tengok.“ sambung abah pula.

“Mak, abah..” jawab Kak Ngah sambil tergelak kecil lantas mendapatkan kedua ibu bapanya untuk bersalaman. Adik hanya memerhatikan sahaja.

“Tadi Kak Ngah sampai. Adik je ada. Katanya mak dengan abah tengah solat.  Lepas tu adik ni ha. Tiba-tiba kejar Kak Ngah nak cium. Kak Ngah larilah.“ sambung Kak Ngah lagi sambil tergelak kecil. Adik mula berlari ke arah Kak Ngah dengan pantas Kak Ngah sembunyi di belakang Mak Ija.

“Kak Ngah tu mak. Tiba-tiba nak touching dengan adik. “ Adik pula menyampuk sambil mencubit-cubit manja lengan Kak Ngah itu.

“Sudah-sudah. Pening mak tengok. Dah besar-besar pun perangai macam budak-budak lagi. Kak Ngah ni... Dah kahwin, dah jadi mak orang dah, masih macam budak-budak lagi. Adik nak cium, biar ajelah Ngah. Dulu masa kecil-kecil bukan main lagi korang peluk cium. Dah besar-besar ni malu pulak ye. Ngah, Ilham tak datang sama? Cucu-cucu mak tu mana? Aiman dengan Insyirah.. Senyap ajer. Angah tak bawa mereka ke?“ Mak Ija memulakan perbualan sambil berjalan menuju ke dapur. Abah pula berjalan ke luar rumah menuju ke pangkin yang terletak di bawah pokok mangga di hadapan rumahnya. Nak ambil angin katanya. Ilham merupakan suami kepada Kak Ngah. Ilham bekerja sebagai kerani di Pejabat Pos.

“Aiman dengan Insyirah kejab lagi sampailah tu mak. Ikut Ilham ke kedai. Adalah tu mereka nak minta. Hari ni Ilham tak kerja. Dia cuti mak.“ jawab Kak Ngah.

“Adik dah siap bancuh air tu?“ soal Kak Ngah dari tadi namun tidak ada jawapan yang diterima. Perlahan-lahan Kak Ngah mengatur langkah mencuit adiknya itu.

“Oh air bancuh siap siap. Eh! Kak Ngah!!! “ Adik mula terjerit kecil.

“Oh ... Adik berangan eh! Akak panggil pun tak dengar! Dahlah tu. Siap melatah lagi. Ishh.. Apa nak jadi ni. Memalukan je...“ sambung Kak Ngahnya lagi dan kini gelaknya tak dapat ditahan.

“Tak habis lagi anak-anak mak ni. Mak dah siap ni. Jomlah kita pergi kat abah tu. Kesian abah duduk sorang ajer. Lagipun petang-petang macam ni kalau duduk bawah pokok tu best jugak. Berangin je.. “ Mak Ija pula bersuara.

“Adik ni mak! Buat air pun sempat lagi berangan! Jomlah mak. Duduk lama-lama kat dapur ni nanti terkeluar pulak usus Kak Ngah duk melayan si adik ni.” Kak Ngah tergelak seraya mengangkat hidangan tadi mengikuti maknya. Adik pula mengangkat 2 jug air teh yang telah siap dibancuhnya sebentar tadi.

permandangan-sawah padi

Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa cukup mendamaikan jiwa. Sawah padi yang mula menghijau begitu menyejukkan pandangan mata. “Ya Allah, betapa indahnya nikmat kurniaanMu ini. Jadikan aku dalam kalangan hambaMu yang sentiasa bersyukur di atas segala kurniaanMu.. Aamiin..“bisik hati kecil adik.

Rumahnya tidaklah begitu besar. Hanya sebuah rumah kampung yang semakin tua dimamah usia. Menunggu masa untuk menyembah bumi. Sejak kecil hinggalah sudah berusia 20 tahun. Rumah ini banyak berbakti. Menjadi payung tatkala bumi dibasahi hujan, menjadi tempat berteduh tatkala terik matahari menyinari bumi. Teringat suatu ketika dahulu. Ketika mereka adik beradik sedang lena dibuai mimpi. Tiba-tiba air hujan menitis membasahi lantai rumah mereka. Rupa-rupanya atap rumah mereka bocor. Pergi ke sekolah pun tak macam rakan-rakan yang lain. Di saat rakan-rakan sibuk membelanjakan wang saku yang diperoleh dari kedua ibu bapa,  mereka adik-beradik hanya mengisi perut dengan air kosong. Mak mengambil upah menjahit. Abah pulak bekerja sebagai petani. Mujurlah arwah datuk ada meninggalkan sedikit harta. Tanah yang diwasiatkan kepada abah, diusahakan menjadi kebun. Hasil tanaman tersebut bolehlah dibuat jual. Cukuplah untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Alhamdulillah, walaupun mereka dari keluarga yang susah, mak dan abah cukup menitik beratkan soal agama. Tidak pernah sekali pun mereka merungut dengan kesusahan yang datang. Mereka yakin Allah menjadikan sesuatu itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Bukan sia-sia sahaja. Sesusah mana pun keluarga mereka, mereka tidak pernah meminta sedekah mahu pun meminta makan dari orang. Rezeki itu milik Allah. Kita sebagai manusia perlulah berusaha lebih sedikit. Sejak kecil mereka telah di didik untuk sentiasa tenang dan sabar dengan ujian Allah. Jangan pernah menyalahi takdir  dan jangan pernah melupakan Allah. Mak dan abah selalu pesan, jika kita ingat pada Allah dan Rasul, mereka pasti akan ingat pada kita.

Dalam keluarga adik, hanya adik sahaja yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bukan kerana abang dan kakak-kakaknya tidak pandai. Tapi kerana kesempitan hidup, mereka terpaksa berhenti sekolah dan memberi laluan kepada yang lain. Oleh sebab itulah Abang Long dan Kak Ngah hanya bersekolah sehingga darjah 6 sahaja. Mereka berhenti sekolah untuk membantu mak dan abah. Kak Aisyah pula hingga ke peringkat SPM. Kak Aisyah mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang tapi Kak Aisyah tak mahu sambung belajar. Dia ingin mencari duit untuk membantu keluarganya.

Alhamdulillah berkat doa mak dan abah, Kak Aisyah mendapat tawaran kerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur. Dapatlah membantu keluarga. Walaupun abang Long dan Kak Ngah telah berkahwin, mereka tak lupa untuk menjenguk abah di kampung. Jarak rumah mereka pun tidaklah begitu jauh. Abah pun sudah tidak bekerja lagi. Hanya mak sahaja yang masih mengambil upah menjahit baju kurung. Rimas katanya duduk di rumah tak buat apa-apa.

“Mak, Abah. Tengok tu. Abang Long dah sampai. Eh! Kat belakang tu kereta Kak Aisyahlah mak. Abang Ngah pun sampai sekali. Macam dah pakat je diaorang semua ni kan. “ Adik bersuara girang sejurus selepas melihat mereka yang lain tiba. Meriah sungguh suasana di rumah Pak Azman dan Mak Ija pada hari itu.

“Adik dapat sambung belajar kat UiTM mana dik?“ soal Abang Long memulakan perbualan, Masing-masing sedang khusyuk mendengar. Seolah-olah sedang mendengar berita tergempar.

“Alhamdulillah, Adik dapat kat UiTM Shah Alam bang. Bulan depan daftar. Tapi kenapa semua orang pandang adik macam tu! Malulah adik. “ sambil tergelak besar adik menjawab pertanyaan abangnya itu.

“Kalau macam tu nanti abang Long sewakan van. Dapatkan kita semua pergi. Dapatlah abang Long merasa masuk Universiti...” jawab abang Long pula berseloroh namun suaranya kedengaran sebak.

“Boleh! Boleh! Abang Long sewa van ye. Bolehlah semua ikut. Bawak mak, abah, Kak Ngah, Kak Long. Bawak semua sekali! Kak Aisyah terus jumpa kat sana je kan? Kak Aisyah ikut jugak kan? “ sambung Adik pula cuba meriuhkan suasana.

“Ye sayang. Kak Aisyah tunggu kat sana je. Adik akak masuk Universiti takkanlah akak tak nak ikut sekali. Mestilah akak nak ikut. Manalah tahu kot-kot boleh dapat jodoh kat sana..“ giliran kak Aisyah pula berbicara sambil tergelak kecil lantas memicit hidung Adik.

Bahagia sungguh hati melihat keadaan mereka sekeluarga. Walaupun bukan dari golongan yang kaya-raya namun hati mereka penuh dengan kasih sayang yang sukar dan tidak boleh dibeli di mana-mana. Benarlah bahawa Allah itu memberi rezeki bukanlah berupa wang semata-mata. Allah memberikan rezeki dalam pelbagai cara yang sesuai dengan kehidupan hambaNya. Selagi mana mereka redha dalam menjalani ujian itu, Allah akan permudahkan segalanya.



***BERSAMBUNG...***


(COPYRIGHT@FARRAMIERA)


p/s: Seperti yang sedia maklum dalam entry sebelum ini. Cerpen ini sepatutnya Fara hantar untuk sertai pertandingan bertemakan Destini Anak Bangsa UiTM Di Hatiku. Tapi tak jadi sebab dah terlebih words. Jadi keseluruhan cerita ini memang berkisarkan tentang UiTM.



Thursday, June 05, 2014

New Cerpen.. Teaser.. Seindah Impian

Salam,

Macam dah lama tak post apa-apa kan. Dah nak final exam, biasalah.. Sibuk sikit.. So, bagi mereka-mereka yang sedang ternanti-nanti sambungan Seindah Biasa by Nurul Laluna, korang boleh terus ke blog Nurul Laluna yang Farah dah letakkan link kat page MyCerpen . Selamat membaca. Sekarang dah Part 2.

Ok,  teaser je ni. Kali ni bukan berkisarkan cerita cinta. Seindah Impian ni dah lama tulis. Masa sem 2 lagi. Masa tu UiTM ada mengajurkan pertandingan menulis cerpen. Punyalah semangat ajak Janna teman gi HEP untuk ambil borang penyertaan sekali bila Farah dah leka menulis, sedar2 dah 5000 lebih patah perkataan. Syarat pertandingan tak lebih dari 3000. Puaslah dok edit cerpen ni tapi tak berjaya nak pendekkan so Farah simpan jelah buat kenangan..

Cerpen Seindah Impian mengisahkan perjalanan seorang gadis biasa dalam mengejar impian dan cita-citanya di UiTM. Memandangkan cerpen ni bertemakan Destini Anak Bangsa UiTM di hatiku, so this cerpen is more about UiTM ye kekawan.. Coming soon okay. 


Hmm

Sedikit petikan daripada cerpen: 



“Dah dah. Jangan nangis nak. Datang sini nak belajar. Bukannya mak dengan abah hantar adik masuk penjara. Tak payah nangis-nangis. Mak dengan abah hidup lagi ni. Nak nangis buat apa.“ sempat lagi Mak Ija melawak Masing-masing mula tertawa. Tangisan dalam senyuman. Itulah keadaannya.




“Akak gurau je dik. Janganlah marah-marah. Nanti cepat tua, tak ada siapa nak. Terpaksalah akak cari Pak Amin kat kampung tu nanti suruh kahwin dengan adik. Tapi adik nak ke kahwin dengan dia. Dia dah macam moyang kita dah dik. Jalan pun sekarang dah pakai tongkat.“ semakin galak kak Ngah mengusik.



Coming soon.. terima kasih kepada yang sudi meluangkan masa ^_^

Thursday, May 29, 2014

Nukilan Nurul Laluna: Seindah Biasa (PART 1)


Hening pagi yang indah terganggu dengan bunyi deringan telefon. Nada dering lagu Cn Blue menjadi pilihan Alisya Humairah. Dengan mata yang masih tertutup, Alisya menggapai telefon bimbitnya lagu di matikan nada dering itu, telefon bimbit disuakan ke telinga comel miliknya.
“Hello…,” Alisya bersuara. Pendek. “Hello..Alisssss…! Woii..suara! Kau tidur lagi ke?,” suara garau kedengaran agak bingit dari audio telefon bimbit itu membuatkan Alisya menjarakkan sedikit dari cuping telinganya.
“Yah! Cakaplah la slow sikit.. pekak telinga aku. Ha..ah lah, aku tidur lagi. Cuti kot. Mengantoklah… ,”balas Alisya sedikit menjerit. Kedengaran hilai tawa dari si pemanggil.
“ Kau memang tak boleh harap. Bangunlah weh… semalam kata nak nasi lemak Mak Jah. Aku dah beli ni, bukak la pintu. Apa punye anak dara la kau ni.. haishh… ,” serentak dengan itu kedengaran bunyi hon motor dari luar pagar rumah sewa milik Alisya dan 5 lagi rakan karibnya.
“Haa…lah. Aku nak bangunlah ni. Kecoh ahh.. ,” balas Alisya sambil mematikan panggilan. Pantas dia menarik sehelai tudung sarung Syria yang mudah dipakai terus di sarungkan bagi menutup kepalanya. Setelah melihat wajahnya di cermin. Alisya bingkas bangun sambil menolak kaki Fatimah yang masih lena dibuai mimpi indah. Mimpi buah hati barangkali detik hati kecil Alisya, melihat Fatimah tersenyum-senyum dengan mata terpejam. Hatinya tergelak kecil.
Sebaik sahaja meninjau dari sudut jendela hadapan, kelihatan dua pemuda di atas sebuah motor EX5. Tanpa memakai topi kaledar keselamatan berada di hadapan pintu pagar utama rumah.
“ Assalamualaikum… oi tuan rumah. Cepatlah bukak pintu ni, lama dah kita orang tunggu ni ,” balas pemuda yang berbaju putih berseluar pendek ala hawai. Seorang lagi rakannya sibuk membelek telefon bimbit nokia kepunyaannya.
“Wa’alaikummussalam. Memekak depan rumah orang pepagi ni, jiran aku nak tidurlah weh…,” balas Alisya sambil menyarung selipar berwarna ungu miliknya. Sambil menjegilkan kedua biji matanya yang bundar kearah sahabatnya yang sedang mengekek gelak melihat telatahnya yang cepat naik darah.
“ Haa.. nah amik nasi lemak korang ni, bak duit. Duit upah sekali tau… haha. ,” balas Zainal berseloroh. Sahabat yang membonceng dibelakangnya hanya diam tanpa sepatah kata. Tidak berminat masuk campur.
“Alright bro… nah duit. Thank you beb! Merasa gak gua makan nasi lemak Mak Jah yang superb sedap ni pepagi…,” balas Alisya sambil menyambut huluran nasi lemak dalam plastic besar. Terdapat 7 bungkus nasi lemak didalamnya.
“Kau order sampai 7, siapa lagi sorang nak melantak tu?,” Tanya Zainal kehairanan. Setahu Zainal, dalam rumah dua tingkat itu hanya terdapat 6 orang awek cun sahaja yang menyewa, atau mungkin mereka ada tetamu yang tumpang tidur di rumah mereka. Zainal memandang tepat ke mata Alisya. Alisya mengangkat keningnya kepada Zainal sambil membalas.
“Kau macam baru kenal aku sehari dua Nal… aku punye perut. Satu tak cukup maa… 2 baru Umm! Haha…,”Alisya mengenyitkan matanya. Nakal.
“Hahaha.. chait! Mengalahkan perut aku plak haa… bela saka ke oi?,” balas Zainal sambil mengekek gelak. Geli hati melihat perangai Alisya yang tak serupa langsung dengan namanya yang melambangkan keayuan.
“Ala suka hati aku lah nak makan banyak mana. Perut aku kot…ko lain la. Kempeng. Apa pon tak boleh…,” balas Alisya sambil mengangkat keningnya.
“Okaylah Alis, aku caw dulu…bebudak dah tunggu kat rumah tu. Papehal roger okey, jangan lupe text aku.. hehe ,” balas zainal sambil mengenyitkan matanya nakal kepada Alisya.
Alisya hanya tertawa sambil mengacukan penumbuk ke arah Zainal yang memang kuat berseloroh. Pemuda yang berada dibelakang Zainal tidak diendahkan. Dia hanya mengetahui bahawa pemuda itu bernama Shah dan dia adalah salah seorang dari penghuni rumah sewa Zainal. Alisya menghantar pemergian teman rapatnya itu dengan pandangan sahaja. Sebaik sahaja mereka hilang dari pandangan, Alisya segera menutup pintu pagar dan berlari anak masuk ke dalam rumah.
Begitulah rutin mingguannya, dia amat berterima kasih kepada Zainal dan beberapa orang lain teman rapatnya yang lain. Kehidupan sebagai seorang pelajar dan jauh dari keluarga membuatkan mereka bertambah rapat. Disini sahabatlah keluarga mereka. Tempat berkongsi susah dan senang.
Alisya memang ramai kawan lelaki, tetapi masing masing hanya berkawan rapat tanpa mempunyai hubungan lebih dari itu. Hal ini kerana sikap Alisya yang happy go lucky dan mudah di ajak berjenaka amat menyenangkan hati ramai orang untuk bersahabat dengannya. Sikapnya yang peramah dan mengambil berat amat di senangi oleh kebanyakkan rakan-rakannya.
Walaupun Alisya seorang gadis bertudung, dia masih aktif bersukan dan perangainya memang sedikit ganas berbanding rakan-rakan perempuan seusianya. Hal itu menyebabkan dia lebih ramai kawan lelaki berbanding perempuan.
Bagi Alisya dia lebih selesa bersahabat dengan kaum yang berlawanan jenis darinya kerana mereka lebih jujur dalam berkata-kata. Tidak cakap belakang.
Mengenangkan perangai sahabatnya tadi, Alisya tersenyum sendirian. Perutnya mula bergelodak kelaparan. Pantas Alisya mengapai pinggan dan sudu. ‘Nasi lemak sesedap ni kalau dibiarkan lama-lama nanti sejuk, rugi…baik makan sekarang’ bisik hatinya.
Selepas membaca doa makan, tangan Alisya pantas menyuap nasi lemak warung Mak Jah itu kedalam mulutnya. ‘Em… sedap!’ Nasi lemak yang menjadi ‘favourite’ pelajar-pelajar kolej berhampiran dengan warung Mak Jah itu memang menjadi santapan istimewa Alisya setiap minggu. Begitu juga dengan rakan rakan serumahnya yang lain.
Sambil menyuap nasi ke mulut, fikiran Alisya menerawang jauh. Berangan dan tersenyum.



Bersambung...



COPYRIGHT@NurulLaluna

Wednesday, May 28, 2014

Coming soon.. Teaser Seindah Biasa

Salam,

Baiklah, cerpen saya bertajuk Cinta Bersatu dah pun sampai ke penghujung. Bagi mereka yang belum berkesempatan untuk baca, anda sangat dialu-alukan untuk membaca. Tak payah nak scroll sampai bawah. Just click MyCerpen and korang boleh pilih je kat situ nak baca yang mana. 

Baiklah, buat seketika, saya akan beri laluan kepada sepupu saya untuk berkongsi karya dia pulak. Boleh terus ke blog dia  Nurul Laluna  kalau nak baca, ataupun baca kat blog saya pun boleh. Sebarang pendapat, komen atau cadangan, boleh terus beritahu saya. Thank you readers ..





“Kau order sampai 7, siapa lagi sorang nak melantak tu?,” Tanya Zainal kehairanan. Setahu Zainal, dalam rumah dua tingkat itu hanya terdapat 6 orang awek cun sahaja yang menyewa, atau mungkin mereka ada tetamu yang tumpang tidur di rumah mereka. Zainal memandang tepat ke mata Alisya. Alisya mengangkat keningnya kepada Zainal sambil membalas.

“Kau macam baru kenal aku sehari dua Nal… aku punye perut. Satu tak cukup maa… 2 baru Umm! Haha…,”Alisya mengenyitkan matanya. Nakal.



p/s: Siap ada cover lagi tau! Class kau jah. haha. Nampaknya nama watak kitaorang guna sama pulak. Ejaan je lain.. Aleesya vs Alisya. hehe. Cerpen saya tak adaa cover.. sobsobsss. Selamat membaca!