◕‿◕。)Assalamualaikum readers ◕‿◕。..:: Terima kasih sudi singgah ! ::..◕‿◕。What's meant to be will always find a way.◕‿◕。

Sunday, June 08, 2014

MyCerpen: Seindah Impian (PART 1)

SEINDAH IMPIAN: BAHAGIAN 1



“Mak!!! Abah!!!“ sayup-sayup kedengaran suara adik memanggil kedua ibu bapanya itu lantas mengejutkan mereka. Abah yang sedang khusyuk membaca surat khabar mula berdiri sambil memandang isterinya yang sedang sibuk menjahit baju kurung. Surat khabar yang dipegang oleh Pak Azman telah lama terlepas tatkala mendengar suara anak bongsunya itu. Mak Ija pun turut sama terkejut  mendengar suara anaknya itu.

“Kenapa dengan adik tu maknya?“ soal abah kehairanan. Jelas terpancar raut wajah kerisauan yang mula menghiasi setiap inci raut tuanya.

“Entahlah bang.. Cuba abang tengok kat luar tu. Kot ada dia kat depan tu. Suara dia kan dari luar tu bang..“ jawab Mak Ija cuba menenangkan keadaan. Pak Azman mula mengatur langkah menuju ke pintu rumahnya mencari-cari kelibat puteri bongsunya itu.

“Apa lagilah Adik ni. Suka buat orang risau tau! “ rungut Mak Ija perlahan.

Faham sangat dengan perangai anak bongsunya itu. Sejak kakaknya Aisyah yang merangkap sahabat baiknya meninggalkan kampung untuk ke kota mencari kerja, adik lebih suka mengadu dan berkongsi cerita dengan Pak Azman dan Mak Ija. Bagi adik, mereka lebih memahami perasaan adik. Tapi itu tak bermakna adik mengabaikan rakan-rakan sekolahnya. Ada masanya adik akan meminta nasihat rakan-rakan juga.

“Mak!  Abah!“ suara Adik tercungap-cungap seperti orang yang baru menamatkan larian 100 meter.  Ketika itu Pak Azman telah pun berada di depan pintu rumahnya. Begitu juga dengan Mak Ija.

“Ya Allah, kenapa ni nak. Cuba cerita kat mak dengan abah. Ni dah macam orang kena kejar hantu je mak tengok.“ Mak Ija mula menutur bicara sambil menghusap kepala anaknya.

“Iyalah kamu ni. Cuba bawa bertenang. Tarik nafas dulu kemudian cerita kat mak dengan abah. Risau kami dibuatnya. Kamu ni adik... “ Abah yang mulanya diam dan hanya menjadi pemerhati mula menyampuk.

“Mak, Abah tengok ni!“ Adik tergelak kecil sambil menghulur sekeping kertas A4 kepada mak dan abahnya. Kertas itu sebenarnya adalah surat tawaran ke IPTA yang baru sahaja di print oleh adik sejurus selepas dia membuat semakan keputusan ke IPTA. Adik telah berjaya diterima masuk ke salah sebuah IPTA yang dikagumi ramai. Salah sebuah IPTA terbesar di Asia. Ramai pelajar lepasan STPM yang membuat permohonan namun tak semua yang bernasib baik. Adik salah seorang yang terpilih.

“Kertas apa kamu bagi mak ni dik. Mak manalah pandai nak baca. Kalau tulisan Jawi tu tahulah mak nak membacanya. Zaman mak dulu semuanya tulisan Jawi nak. Cuba kamu baca, mak nak dengar.“ panjang lebar Mak Ija menyambung bicara. Abah hanya melihat gelagat dua orang puteri kesayangannya itu.

“Mak dengar tau adik nak baca ni...” sambung Adik lantas memulakan bacaan. “ Sukacita dimaklumkan bahawa anda ditawarkan tempat untuk mengikuti program di UiTM. Program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Kepujian Perbankan Islam. “ jelas kedengaran nada suara adik yang tampak ceria dan teruja.

“Adik dapat sambung belajar mak,abah. Adik dapat masuk Universiti. “ sambung adik lagi. Suara adik kedengaran sebak.

“Ya Allah, syukur Alhamdulillah nak. Syukur, Alhamdulillah...“ serentak mak dan abah mengucapkan syukur ke hadrat Illahi. Air mata kegembiraan menitis laju. Adik juga turut mengalirkan air mata. Buat seketika, adik hanyut dalam dakapan ayahanda dan bonda.


***


Seusai menunaikan solat Zohor, Mak Ija telah mula sibuk di dapur menyediakan minum petang. Selepas mak dan abah mendapat khabar gembira pada pagi itu, mereka terus menelefon anak-anak yang lain. Kebahagiaan dan kegembiraan menghiasi raut wajah kedua ibu bapanya. Sukar untuk digambarkan betapa bahagianya melihat wajah ayahanda dan bonda.

Kak Ngah selepas Zohor tadi dah tiba. Kak Ngah bekerja sebagai tukang jahit di sebuah kedai kecil di hujung kampung. Walaupun tak diminta tapi Kak Ngah tetap membawa sedikit buah tangan. Kak Aisyah pula petang nanti baru sampai katanya. Maklumlah, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka mengambil masa dua jam. Kak Aisyah harus meminta kebenaran daripada bos tempat dia bekerja dahulu sebelum pulang. Abang Long pula selepas waktu kerja baru akan datang.

Petang itu Mak Ija telah siap menyediakan mee goreng, pisang goreng, kuih seri muka dan tak lupa juga ubi kayu rebus kesukaan anak-anaknya. Petang-petang macam ni memang sedap kalau makan ubi kayu rebus dengan sambal belacan bersama ikan kering. Sambal tumis juga Mak Ija sediakan. Mak Ija tahu anak-anaknya ni seleranya lain-lain. Abang Long suka makan dengan sambal belacan dan ikan kering. Abah pula tak kisah. Asalkan ada ubi rebus. Kak Ngah berlainan pula, dia lebih gemar makan ubi rebus bersama dengan sambal tumis.

Adik yang sedari tadi sibuk membantu mak Ija juga turut membantu menyediakan air. Kebiasaannya, kalau bab-bab air ni, adiklah yang akan uruskan. Kata keluarganya, adik pandai buat air. Sedap. Petang itu adik menyediakan dua jug air. Satu air panas dan satu air sejuk. Seperti biasalah, kopi dan teh’o ais limau menjadi pilihan. Ketika sedang membancuh air, adik teringat peristiwa tadi bersama Kak Ngahnya membuatkan dia terus tergelak kecil.


***


“Assalamualaikum...“ kedengaran suara Kak Ngah yang begitu lembut memberi salam.

“Waalaikumsalam. Kak Ngah!“ Adik terus mendapatkan Kak Ngahnya itu.

“Tahniah dik! Kak Ngah bangga sangat bila mak beritahu Kak Ngah adik dapat sambung belajar. Kat UiTM pulak tu. Mak dengan abah mana dik?“ Kak Ngah memulakan bicara sambil menghulurkan sedikit buah tangan buat adik kesayangannya itu.

“Alhamdulillah kak. Syukurlah. Adik gembira sangat bila dapat tahu UiTM terima adik. Eh apa ni kak... Hmm, akak ni buat susah-susah je. Tak payahlah bawa semua ni. Akak simpan je duit akak tu kak. Akak lagi perlukannya. Mak dengan abah ada tu dalam bilik. Baru habis solat agaknya tu.. “ jawab adik sambil mengambil buah tangan dari kak ngah itu.

“Ambil jelah dik. Akak ni nak belikan adik barang yang mahal-mahal tak mampu. Ini jelah yang akak dapat bagi kat adik.“ kedengaran sayu suara Kak Ngahnya itu.

“Laaahhh akak ni.. Nak touching pulak. Adik sukalah akak bagi ni. Adik cuma tak nak susahkan akak je. Akak! Tengok ni! Wah!!! Ada buah tembikai susulah! Ni yang nak cium akak ni.“ jawab adik sambil berlari-lari anak ke arah akaknya. Kak Ngah tu sensitif orangnya. Walaupun adik tak bermaksud apa-apa namun dia kenal benar hati Kak Ngahnya itu.

“Ishh.. Adik, tak naklah!“ Kak Ngah mula melarikan diri. Kak Ngah di sebelah kanan meja manakala adik di sebelah kiri meja. Adik masih mengusik-usik Kak Ngah itu. Terasa seperti mereka berada di zaman 10 tahun dahulu. Begitulah gelagat mereka semasa kecil. Kalau Kak Aisyah dan Abang Long ada lagilah meriah.

“Ya Allah... Ni kenapa ni Kak Ngah, adik? Runtuh rumah mak ni nanti. Kak Ngah ni bilanya sampai ?“ soal mak kebingungan melihat gelagat anak-anaknya itu.

“Ha’ah kamu berdua ni. Kenapa ni? Dah macam budak-budak dah abah tengok.“ sambung abah pula.

“Mak, abah..” jawab Kak Ngah sambil tergelak kecil lantas mendapatkan kedua ibu bapanya untuk bersalaman. Adik hanya memerhatikan sahaja.

“Tadi Kak Ngah sampai. Adik je ada. Katanya mak dengan abah tengah solat.  Lepas tu adik ni ha. Tiba-tiba kejar Kak Ngah nak cium. Kak Ngah larilah.“ sambung Kak Ngah lagi sambil tergelak kecil. Adik mula berlari ke arah Kak Ngah dengan pantas Kak Ngah sembunyi di belakang Mak Ija.

“Kak Ngah tu mak. Tiba-tiba nak touching dengan adik. “ Adik pula menyampuk sambil mencubit-cubit manja lengan Kak Ngah itu.

“Sudah-sudah. Pening mak tengok. Dah besar-besar pun perangai macam budak-budak lagi. Kak Ngah ni... Dah kahwin, dah jadi mak orang dah, masih macam budak-budak lagi. Adik nak cium, biar ajelah Ngah. Dulu masa kecil-kecil bukan main lagi korang peluk cium. Dah besar-besar ni malu pulak ye. Ngah, Ilham tak datang sama? Cucu-cucu mak tu mana? Aiman dengan Insyirah.. Senyap ajer. Angah tak bawa mereka ke?“ Mak Ija memulakan perbualan sambil berjalan menuju ke dapur. Abah pula berjalan ke luar rumah menuju ke pangkin yang terletak di bawah pokok mangga di hadapan rumahnya. Nak ambil angin katanya. Ilham merupakan suami kepada Kak Ngah. Ilham bekerja sebagai kerani di Pejabat Pos.

“Aiman dengan Insyirah kejab lagi sampailah tu mak. Ikut Ilham ke kedai. Adalah tu mereka nak minta. Hari ni Ilham tak kerja. Dia cuti mak.“ jawab Kak Ngah.

“Adik dah siap bancuh air tu?“ soal Kak Ngah dari tadi namun tidak ada jawapan yang diterima. Perlahan-lahan Kak Ngah mengatur langkah mencuit adiknya itu.

“Oh air bancuh siap siap. Eh! Kak Ngah!!! “ Adik mula terjerit kecil.

“Oh ... Adik berangan eh! Akak panggil pun tak dengar! Dahlah tu. Siap melatah lagi. Ishh.. Apa nak jadi ni. Memalukan je...“ sambung Kak Ngahnya lagi dan kini gelaknya tak dapat ditahan.

“Tak habis lagi anak-anak mak ni. Mak dah siap ni. Jomlah kita pergi kat abah tu. Kesian abah duduk sorang ajer. Lagipun petang-petang macam ni kalau duduk bawah pokok tu best jugak. Berangin je.. “ Mak Ija pula bersuara.

“Adik ni mak! Buat air pun sempat lagi berangan! Jomlah mak. Duduk lama-lama kat dapur ni nanti terkeluar pulak usus Kak Ngah duk melayan si adik ni.” Kak Ngah tergelak seraya mengangkat hidangan tadi mengikuti maknya. Adik pula mengangkat 2 jug air teh yang telah siap dibancuhnya sebentar tadi.

permandangan-sawah padi

Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa cukup mendamaikan jiwa. Sawah padi yang mula menghijau begitu menyejukkan pandangan mata. “Ya Allah, betapa indahnya nikmat kurniaanMu ini. Jadikan aku dalam kalangan hambaMu yang sentiasa bersyukur di atas segala kurniaanMu.. Aamiin..“bisik hati kecil adik.

Rumahnya tidaklah begitu besar. Hanya sebuah rumah kampung yang semakin tua dimamah usia. Menunggu masa untuk menyembah bumi. Sejak kecil hinggalah sudah berusia 20 tahun. Rumah ini banyak berbakti. Menjadi payung tatkala bumi dibasahi hujan, menjadi tempat berteduh tatkala terik matahari menyinari bumi. Teringat suatu ketika dahulu. Ketika mereka adik beradik sedang lena dibuai mimpi. Tiba-tiba air hujan menitis membasahi lantai rumah mereka. Rupa-rupanya atap rumah mereka bocor. Pergi ke sekolah pun tak macam rakan-rakan yang lain. Di saat rakan-rakan sibuk membelanjakan wang saku yang diperoleh dari kedua ibu bapa,  mereka adik-beradik hanya mengisi perut dengan air kosong. Mak mengambil upah menjahit. Abah pulak bekerja sebagai petani. Mujurlah arwah datuk ada meninggalkan sedikit harta. Tanah yang diwasiatkan kepada abah, diusahakan menjadi kebun. Hasil tanaman tersebut bolehlah dibuat jual. Cukuplah untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Alhamdulillah, walaupun mereka dari keluarga yang susah, mak dan abah cukup menitik beratkan soal agama. Tidak pernah sekali pun mereka merungut dengan kesusahan yang datang. Mereka yakin Allah menjadikan sesuatu itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Bukan sia-sia sahaja. Sesusah mana pun keluarga mereka, mereka tidak pernah meminta sedekah mahu pun meminta makan dari orang. Rezeki itu milik Allah. Kita sebagai manusia perlulah berusaha lebih sedikit. Sejak kecil mereka telah di didik untuk sentiasa tenang dan sabar dengan ujian Allah. Jangan pernah menyalahi takdir  dan jangan pernah melupakan Allah. Mak dan abah selalu pesan, jika kita ingat pada Allah dan Rasul, mereka pasti akan ingat pada kita.

Dalam keluarga adik, hanya adik sahaja yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bukan kerana abang dan kakak-kakaknya tidak pandai. Tapi kerana kesempitan hidup, mereka terpaksa berhenti sekolah dan memberi laluan kepada yang lain. Oleh sebab itulah Abang Long dan Kak Ngah hanya bersekolah sehingga darjah 6 sahaja. Mereka berhenti sekolah untuk membantu mak dan abah. Kak Aisyah pula hingga ke peringkat SPM. Kak Aisyah mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang tapi Kak Aisyah tak mahu sambung belajar. Dia ingin mencari duit untuk membantu keluarganya.

Alhamdulillah berkat doa mak dan abah, Kak Aisyah mendapat tawaran kerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur. Dapatlah membantu keluarga. Walaupun abang Long dan Kak Ngah telah berkahwin, mereka tak lupa untuk menjenguk abah di kampung. Jarak rumah mereka pun tidaklah begitu jauh. Abah pun sudah tidak bekerja lagi. Hanya mak sahaja yang masih mengambil upah menjahit baju kurung. Rimas katanya duduk di rumah tak buat apa-apa.

“Mak, Abah. Tengok tu. Abang Long dah sampai. Eh! Kat belakang tu kereta Kak Aisyahlah mak. Abang Ngah pun sampai sekali. Macam dah pakat je diaorang semua ni kan. “ Adik bersuara girang sejurus selepas melihat mereka yang lain tiba. Meriah sungguh suasana di rumah Pak Azman dan Mak Ija pada hari itu.

“Adik dapat sambung belajar kat UiTM mana dik?“ soal Abang Long memulakan perbualan, Masing-masing sedang khusyuk mendengar. Seolah-olah sedang mendengar berita tergempar.

“Alhamdulillah, Adik dapat kat UiTM Shah Alam bang. Bulan depan daftar. Tapi kenapa semua orang pandang adik macam tu! Malulah adik. “ sambil tergelak besar adik menjawab pertanyaan abangnya itu.

“Kalau macam tu nanti abang Long sewakan van. Dapatkan kita semua pergi. Dapatlah abang Long merasa masuk Universiti...” jawab abang Long pula berseloroh namun suaranya kedengaran sebak.

“Boleh! Boleh! Abang Long sewa van ye. Bolehlah semua ikut. Bawak mak, abah, Kak Ngah, Kak Long. Bawak semua sekali! Kak Aisyah terus jumpa kat sana je kan? Kak Aisyah ikut jugak kan? “ sambung Adik pula cuba meriuhkan suasana.

“Ye sayang. Kak Aisyah tunggu kat sana je. Adik akak masuk Universiti takkanlah akak tak nak ikut sekali. Mestilah akak nak ikut. Manalah tahu kot-kot boleh dapat jodoh kat sana..“ giliran kak Aisyah pula berbicara sambil tergelak kecil lantas memicit hidung Adik.

Bahagia sungguh hati melihat keadaan mereka sekeluarga. Walaupun bukan dari golongan yang kaya-raya namun hati mereka penuh dengan kasih sayang yang sukar dan tidak boleh dibeli di mana-mana. Benarlah bahawa Allah itu memberi rezeki bukanlah berupa wang semata-mata. Allah memberikan rezeki dalam pelbagai cara yang sesuai dengan kehidupan hambaNya. Selagi mana mereka redha dalam menjalani ujian itu, Allah akan permudahkan segalanya.



***BERSAMBUNG...***


(COPYRIGHT@FARRAMIERA)


p/s: Seperti yang sedia maklum dalam entry sebelum ini. Cerpen ini sepatutnya Fara hantar untuk sertai pertandingan bertemakan Destini Anak Bangsa UiTM Di Hatiku. Tapi tak jadi sebab dah terlebih words. Jadi keseluruhan cerita ini memang berkisarkan tentang UiTM.



No comments:

Post a Comment