◕‿◕。)Assalamualaikum readers ◕‿◕。..:: Terima kasih sudi singgah ! ::..◕‿◕。What's meant to be will always find a way.◕‿◕。

Wednesday, May 28, 2014

MyCerpen: Cinta Bersatu (PART 4 / AKHIR)




CINTA BERSATU: BAHAGIAN 4


Suasana pada pagi ini begitu ceria apabila masing-masing mula membelek-belek kad jemputan ke majlis perkahwinan Naziha tidak lama lagi. Kedengaran gelak tawa dan senda gurau rakan-rakan sepejabatnya yang sedang asyik mengusik Naziha. Naziha Aleesya, seorang gadis yang sangat lemah lembut, cantik dan pendiam orangnya. Namun begitu dia mudah berkawan dan gemar membantu rakan-rakannya. Setiap yang mengenali pasti akan berasa selesa dek kerana sikapnya itu.

Bila dapat sahaja berita bahawa dia akan melangsungkan perkahwinan, masing-masing mula riuh bertanya. Sebelum ini Naziha tak pernah pula menceritakan apa-apa tentang pasangan hidupnya. Malahan tak pernah pula dia mengaku dirinya sudah berpunya. Apabila ditanya , dia hanya tersenyum seraya berkata " InsyaAllah adalah nanti. Tapi tak tahu bila.” . Bunga yang pernah diterima dahulu pun daripada Irfan hanya menjadi bahan gurauan sekejab sahaja. Tidak terfikir langsung bahawa penghantar bunga itu sebenarnya pemilik hati Naziha.

Ramai juga jejaka-jejaka di luar sana ingin mencuba untuk mencuri hatinya tapi tak ada satu pun berjaya membuka hatinya itu. Sikap Naziha yang tidak gemar melayan lelaki sangat kadangkala membuatkan rakan-rakannya berasa pelik. Bukan apa, mereka hanya ingin berkenalan dengan Naziha. Itu sahaja. Namun Naziha sering bersikap acuh tak acuh. Dia seringkali mengatakan bahawa dia tak mahu sekiranya dia melayan lelaki-lelaki tersebut secara tidak langsung lelaki tersebut jatuh cinta dengannya tetapi dalam masa yang sama dia tidak mampu untuk membalasnya. Terasa seperti dia telah mempermainkan hati lelaki tersebut sedangkan setiap hari call dan mesej lelaki tersebut dilayan. 

"Berkenalan untuk berkawan tidak menjadi masalah, cumanya bagaimana kalau mereka ingin berkenalan untuk berkawan tapi sebenarnya mereka inginkan lebih dari itu? Ye, jodoh tu Allah yang tentukan tapi biarlah ia berlaku seperti apa yang direncanakan. Lebih baik Ziha terus terang dulu dengan mereka sebelum kami berkawan. Ziha tak nak kecewakan hati mereka dan Ziha tak nak rasa bersalah sekiranya cinta mereka Ziha tidak terima. Ziha pernah rasa. Ziha tak nak mereka rasa apa yang Ziha rasa.." kata Naziha perlahan. 

Dia lebih gemar membahasakan dirinya dengan nama Ziha apabila berbual dengan rakan-rakannya. 

"Tapi Ziha macam mana nak jatuh cinta kalau kita tak kenal dia kan? Sebab tu lah mereka nak berkawan dengan Ziha , mana tahu kot lama-lama nanti boleh timbulnya cinta tu.." balas Kak Yani. 

"Ziha tahu tu kak sebab tu lah Ziha lebih suka kalau dia berkenalan dengan Ziha untuk berkawan dahulu, bukannya mula-mula lagi dah nak hubungan yang lebih dari tu. Sebab tu juga Ziha jarang layan lelaki-lelaki ni kak. Ziha nak tengok sejauh mana diaorang ikhlas nak berkawan dengan Ziha. Nampak macam jahatkan kak tapi masing-masing ada caranya sendiri. Kalau cinta , doa supaya Allah beri petunjuk yang betul.. " balas Ziha perlahan seraya tersenyum memandang kak Yani yang berada di sebelahnya. 

Kak Yani telah lama bekerja di situ. Dalam ramai-ramai pekerja , Naziha lebih rapat dengan Kak Yani. Mungkin Kak Yani lebih memahaminya. Kak Yani juga tak lokek berkongsi ilmu. Ada sahaja ceritanya setiap hari.

"Macam mana Naziha kenal bakal suami Naziha tu? Dah lama kenal ke? Naziha tak pernah cerita pun Naziha dah ada yang punya. Kak Yani terperanjat bila Naziha bagi kak Yani kad kahwin sebab seingat kak Yani ,Naziha tak pernah pulak cerita Naziha dah bertunang, tahu-tahu je dah nak kahwin. Orang mana lelaki tu? Bertuahnya dia dapat Naziha ni. Ramai dok pikat tak ada yang sangkut , dia yang berjaya. Ceritalah kat Kak Yani " soal kak Yani panjang lebar ketika mereka sedang berehat di tepi pantai. 

Minggu itu Kak Yani mengajak Naziha untuk berkelah di tepi pantai bersama dengan keluarganya. Naziha dan Kak Yani bagaikan kakak dan adik. Anak-anak Kak Yani pun suka dengan kehadiran Naziha. Sikapnya yang gemarkan kanak-kanak membuatkan dirinya disenangi Lina, Aiman dan Dira.  

"Bertuah ke kak Yani ? " sambil tergelak kecil memandang kak Yani. 

"Naziha dah lama kenal dialah kak. Dia kawan lama Ziha. Entahlah kak Yani. Kuasa Allah kan. Ziha pun tak sangka. Tipulah kalau Ziha kata Ziha tak pernah pendam perasaan kat dia. Dah lama Ziha simpan perasaan kat dia tapi bila Ziha tengok dia macam tak berminat je kat Ziha , Ziha pun buat tak tahu jelah. Lama juga Ziha tak contact dia. Ziha kan perempuan kak, malulah kalau asyik Ziha nak tanya khabar dia. " belum sempat menghabiskan bicara, kak Yani menyoal lagi. 

"Dia tak pernah tanya khabar Naziha ke? " 

"Tak pun kak. Tak pelah, Ziha ni siapa kak kat hati dia. Ziha cuba buka hati Ziha untuk orang lain tapi cinta Ziha buat dia membuatkan Ziha gagal kak. Jadi Ziha biarkan jelah semuanya berjalan seperti apa yang dikehendakiNya. Tiga bulan lepas masa Ziha singgah untuk solat Maghrib kat masjid, Allah temukan dia dengan Ziha. Masa Ziha nak balik tu tengah berjalan ke arah kereta, dengar suara lelaki beri salam dan sebut nama Ziha. Ziha takut juga masa tu kak. Tapi depan masjidkan, insyaAllah lah tak ada apa. Ziha jawab salam tu terus pusing belakang , kemudian nampak dia dengan baju Melayu warna biru dan seluar slack hitam. Cair hati ni.” sambil tergelak kecil, nada suaranya kedengaran begitu ceria dan teruja. 

"Amboi Ziha. Hah! Lepas tu, Ziha tegur dia jugak ke? " kak Yani menyampuk

"Kami berbual sekejab kemudian Ziha minta diri nak balik sebab masa tu Ziha ada tanya, mana isteri dia. Dia kata sekarang tak ada, Nanti adalah tu. Ziha betul-betul ingat dia dah ada isteri kak. Tu yang cepat-cepat Ziha minta diri nak balik. Tak sanggup nak tengok isteri dia. Mesti Ziha frust punya nanti.." sambungnya lagi sambil tergelak kecil.

“ Dari situlah kenal dengan dia balik dan tak lama lepas tu dia lamar Ziha. Tapi dia tak cakap kat Ziha , dia cakap kat mama dan ayah Ziha. Ziha tahu pun dari mama dan ayah. Bila Ziha tanya dia kenapa tak cakap kat Ziha , dia kata dia nak restu dari mama dan ayah Ziha dulu. Masa tu kak, Allah je yang tahu macam mana perasaan Ziha."  Suara yang kedengaran ceria itu kini ditambah pula dengan linangan air mata kegembiraan. 

Kak Yani sedari tadi khusyuk mendengar walaupun banyak menyoal menitiskan air mata. 

"Sweetnya cerita Naziha ni. Macam dalam novel pulak ye. Yelah, jodoh pertemuan tu di tangan Allah. Tak ada siapa boleh menolaknya. Cuma cepat atau lambat sahaja. Bolehlah buat novel lepas ni ye Naziha. Lepas tu jadikan filem macam cerita Salam Cinta tu. " jawab kak Yani ceria sambil tergelak kecil. 

"Kak Yani ni. Ada-ada jelah." balas Naziha turut sama tergelak. Jauh di sudut hati , Naziha sentiasa memanjatkan kesyukuran di atas segala kurniaanNya.



***


Detik yang dinanti telah pun tiba. Naziha kelihatan begitu cantik dengan baju kurung moden berwarna putih yang dihiasi dengan sulaman bunga berwarna biru turquoise. Rombongan pihak lelaki telah pun tiba. Hatinya semakin berdebar-debar menantikan saat itu. Irfan kelihatan tenang dengan baju Melayu berwarna putih. Tampak segak dan bergaya. Kedengaran suara-suara tetamu yang hadir berbisik sesama mereka memuji Irfan. Naziha hanya mampu tersenyum. Berulangkali dia memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana menghadiahkan dia insan sebaik Irfan. Naziha ditemani oleh kak Yani di sisi dan juga sahabat baiknya sejak dari zaman persekolahan, Syafiqah. Walaupun mereka jarang sekali berhubung, namun ikatan persahabatan yang begitu akrab antara mereka membuatkan mereka tidak pernah melupakan satu sama lain.




Alhamdulillah dengan sekali lafaz, Naziha Aleesya telah sah bergelar seorang isteri kepada Irfan Danial. Air mata kesyukuran mengalir laju. Naziha terus mendakap mamanya yang duduk  bersebelahan dengannya. Mama juga menitiskan air mata. Sedih kerana anaknya itu akan mula berjauhan dengannya namun pada masa yang sama gembira kerana akhirnya puterinya itu telah pun bergelar seorang isteri. Selesai menunaikan solat sunat, Irfan mula mengatur langkah ke arah Naziha untuk menyarung cincin perkahwinan mereka. Jantungnya berdegup kencang tatkala melihat Irfan yang sedang mengatur langkah, tersenyum memandangnya. Serta merta tangannya menjadi sejuk. 

“Awak nampak cantik!” bisik Irfan perlahan.

Cincin di sarung, mereka mula bersalaman. Tatkala itu air mata kesyukuran mula mengalir lagi. Irfan hanya tersenyum memandang isterinya itu sambil mengesat air mata yang mengalir dengan tangannya. 

"Jangan menangis sayang. Air mata awak sangat mahal. Biarlah sekarang sayang beri peluang pada abang untuk hapus air mata ni." Naziha hanya mampu mengukir senyuman. Pertama kali Irfan menggelar dirinya abang dan memanggil Naziha sayang. Terasa kekok tapi dia harus belajar membiasakan diri.

"Ya Allah , semoga hubungan ini diberkati dan diredhaiMu ya Allah... Berilah kami kekuatan menjalani perjalanan hidup kami. Semoga cinta kami terus mekar selamanya hingga ke syurga. Cinta hingga ke akhirnya.. Dan semoga cinta anugerahMu ini membuatkan kami lebih dekat denganMu ya Allah.." doa Naziha dalam hatinya sambil tersenyum memandang cinta hatinya, Irfan Danial yang kini sah bergelar suaminya. Sungguh, ketentuan Allah itu sangat indah. Kadangkala sesuatu yang sangat kita tidak sangka-sangka. Subhanallah...

Selesai sahaja majlis itu, tetamu yang hadir mula memenuhi ruang makan di luar untuk menjamu selera. Naziha dan Irfan masih di dalam untuk sesi bergambar. Keluarga dan sanak-saudara turut sama menyertai mereka untuk sesi bergambar. Kata orang, walaupun manusia itu sentiasa berubah-ubah namun gambar dan kenangan tetap kekal , tidak berubah. Setiap gambar itu pasti ada ceritanya yang tersendiri.

Atas permintaan Naziha, lagu dendangan Liyana Jasmay, Cinta Bersatu mula kedengaran. Bait-bait lirik lagu itu sangat menyentuh hati.

"Lagu ni untuk abang.. I love Irfan Danial.. I love you so much.. Terima kasih untuk segalanya.." Buat pertama kalinya, Naziha Aleesya mengungkapkan kata-kata cinta buat Irfan. Suaminya itu hanya tersenyum manis memandang raut wajah isterinya itu. Sudah lama dinantikan saat ini. Gadis yang selama ini hanya menjadi perhatiannya dari jauh kini berada di sisi. Bukan untuk seketika tapi untuk setiap masa dan ketika.

"Aleesya, saya yang patut berterima kasih kat awak.. Sebab awak mahu terima saya.. Sebab awak mahu beri ruang dan peluang untuk saya mengisi segenap ruang hati awak.. Saya janji saya tak akan sia-siakan awak. Saya takkan buat awak menangis and I'll make sure senyuman di bibir awak akan sentiasa terukir.." janji Irfan itu membuatkan Naziha berasa sangat terharu. Masing-masing mengukir senyuman. Mata mereka saling bertaut antara satu sama lain. Perasaan bahagia dan bersyukur yang sukar untuk dilafazkan melalui kata-kata. 

Naziha nampak agak kekok untuk bergambar bersama Irfan. Mungkin mereka baru sahaja bernikah, rasa kekok dan malu itu pasti ada terselit bagi seorang wanita. Maklumlah, sebelum ini mereka hanya kawan. Tak diduga pun jika satu hari nanti mereka akan bergelar pasangan suami isteri.

"Sayang, dengan suami pun nak malu-malu ke? Kalau malu-malu macam ni, tak bolehlah nak ambil gambar macam Irma Hasmie tu.." bisik Irfan perlahan sambil menggengam erat tangan isterinya kemudian memegang pula pinggang wanita yang telah sah menjadi isterinya. Ketika itu jurugambar sedang sibuk menjalankan tugas mereka. Naziha yang terkejut dengan tindakan suaminya itu lantas tersipu malu. Sungguh dia berasa sangat kekok apabila Irfan menggenggam erat tangannya.




"Awak! " Naziha terjerit kecil terus memandang Irfan. Kedua-duanya berpandangan antara satu sama lain lantas tertawa kecil. Jurugambar mereka tidak melepaskan peluang itu. Kamera di tangan sibuk merakam gelagat pasangan sejoli ini.

"Tengok gambar korang ni. Sweetnya. Kan senang nak ambil gambar macam ni. Lepas ni kita bergerak untuk photoshoot di luar ye." Azmir, jurugambar mereka pula bersuara sambil menunjukkan gambar tersebut kepada Naziha dan Irfan..

"Okay Mir. Tapi kita pergi lambat sikitlah ye. Aku nak ke depan dulu jumpa kawan-kawan. Apa kata kau ikut sekali. Bolehlah ambil gambar aku dengan diaorang." balas Irfan.

"Sayang, jom ikut abang. " kedengaran ceria suara Irfan sambil menarik tangan Naziha.

"Abang nak kenalkan puteri hati abang ni dengan kawan-kawan abang kat luar tu. Diaorang tu bukan kawan sekolah kita. Kawan-kawan abang masa belajar dulu dan kawan tempat kerja. Kawan-kawan sayang pun mesti nak kenal dengan suami sayang yang handsome ni kan.. Jom.." sambung Irfan lagi terus menarik tangan Ziha untuk mengikuti langkahnya.



 TAMAT ....


(COPYRIGHT@FARRAMIERA)


No comments:

Post a Comment